BANGKOK, 2 April — Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha hari ini mengumumkan perintah berkurung seluruh negara dari 10 malam hingga 4 pagi mulai Jumaat, dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19 di negara itu berikutan jumlah kes telah meningkat kepada hampir 2,000.
Dalam mempergiat usaha memerangi pandemik COVID-19, Prayuth berkata perintah berkurung harian itu dikecualikan bagi pekerja dalam perkhidmatan penting termasuk penjagaan kesihatan, pengangkutan dan perbankan serta mereka yang dalam perjalanan dari dan ke lapangan terbang.
Beliau berkata mereka yang ingkar perintah itu akan berdepan hukuman penjara selama dua tahun atau denda sehingga 40,000 baht atau kedua-duanya.
“Larangan ini berkuat kuasa 3 April sehingga dimaklumkan kelak.
“Larangan ini mungkin menyulitkan tetapi kita mesti hadapinya untuk menangani COVID-19. Saya beri jaminan bahawa saya sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk membendung wabak ini secepat mungkin,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.
Prayuth berkata kerajaan akan terus memantau situasi dan langkah ketat akan dilaksanakan jika perlu.
Thailand melaporkan 104 kes baharu positif COVID-19 dan tiga kematian hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,875 kes dan 15 kematian.
Thailand mengisytiharkan darurat di seluruh negara dari 26 Mac hingga 30 April, untuk mengekang penularan COVID-19.
Di bawah dekri darurat, semua pusat beli-belah, pusat hiburan dan venue sukan yang menarik tumpuan ramai diarah tutup manakala pasar raya yang menjual makanan dan barang keperluan harian, farmasi dan kedai serbaneka boleh dibuka.
Restoran dan kafe dibenarkan dibuka dengan hanya menawarkan makanan untuk dibungkus dan perkhidmatan penghantaran sahaja.
Kerajaan melarang kemasukan semua warga asing bukan penduduk. Bagaimanapun, warga Thailand, kalangan anggota diplomatik, warga asing yang memiliki permit kerja dan mereka yang bekerja dalam sektor pengangkutan dibenarkan masuk.
Sementara itu, Prayuth berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan rakyat Thailand yang berada di luar negara dan semua agensi berkaitan telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kebajikan mereka terjaga.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19.
— BERNAMA