KUALA LUMPUR: Status arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama ada dilanjutkan atau ditamatkan, bakal diketahui dalam tempoh kira-kira 72 jam lagi iaitu pada 10 April, selepas dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat ini, yang pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelusuk tanah air.
Jika diteliti, rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki hari ke-22 pelaksanaan PKP hari ini dan ingin kembali kepada kehidupan normal, namun kerajaan pastinya akan membuat keputusan tepat berdasarkan situasi semasa kes COVID-19 di negara ini.
Untuk rekod, Malaysia merekodkan 69 kes sporadik COVID-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Sementara, sebanyak 170 kes baharu COVID-19 dengan satu lagi kematian direkodkan setakat 12 tengah hari semalam, menjadikan jumlah kes positif 3,963 kes membabitkan keseluruhan 63 kematian.