PUTRAJAYA, 29 Mac — Isi rumah dan individu bujang yang sebelum ini telah disenaraikan sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak perlu membuat permohonan baharu bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Kementerian Kewangan (MOF), dalam kenyataan hari ini, berkata bayaran BPN akan dibuat secara terus kepada mereka melalui akaun bank berdaftar di bawah BSH.
Menurutnya. mereka adalah tergolong dalam isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah yang akan menerima BPN sebanyak RM1,600 serta individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang layak menerima RM800.
Bagi isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000 dan individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000 yang telah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai pembayar cukai, MOF berkata mereka juga tidak perlu membuat permohonan baharu untuk BPN.
Tambahnya, bayaran BPN sebanyak RM1,000 bagi isi rumah dan RM500 bagi individu yang layak di bawah kategori itu akan dibuat secara terus kepada mereka melalui akaun bank berdaftar dengan LHDN.
Menurut MOF, bagi mereka yang belum berdaftar pula, permohonan baharu boleh dibuat mulai 1 April 2020 menerusi laman sesawang rasmi LHDN di www.hasil.gov.my.
Dalam pada itu, katanya, orang ramai diingatkan agar berhati-hati dengan scammers (sindiket penipuan) yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan BPN.
“Penerima disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan jangan memberikan maklumat kepada mana-mana pihak ketiga,” katanya.
MOF turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah berkongsi pandangan, teguran dan cadangan mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) menggunakan pelbagai saluran.
“Kementerian melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), bersedia memastikan bantuan Pakej PRIHATIN disampaikan dengan efisien dan cepat,” katanya.
Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi MOF di talian 03-8882 9089/ 03-8882 9087/ 03-8882 9191/ 03-8882 4565/ 03-8882 4566 pada jam 9 pagi hingga 5 petang (Ahad hingga Jumaat), atau e-mel kepada [email protected]/ [email protected] atau menerusi aplikasi Telegram: PRE PRIHATIN atau laman Facebook Kementerian Kewangan.
Orang ramai juga boleh menghubungi LHDN di talian 1-800 882 747 atau 03-8911 1000 mulai jam 9 pagi hingga 5 petang (Ahad hingga Jumaat).
— BERNAMA