KUCHING: Dua lagi kematian baharu disebabkan COVID-19 direkodkan di Sarawak, menjadikan jumlah kematian sebanyak 12 orang setakat hari ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media di sini hari ini berkata kedua-dua kes kematian tersebut adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Mangsa kematian kesebelas merupakan seorang lelaki berumur 72 tahun dari Taman Sebah Height, Kuching. Beliau dikesan positif COVID-19 pada 28 Mac yang lalu dan dimasukkan ke HUS, meninggal dunia pada 4 April jam 1.37 petang.
“Mangsa kematian kedua belas merupakan seorang lelaki berumur 53 tahun dari Batu Kawa, Kuching. Kes ini telah mendapat rawatan di HUS pada 31 Mac dan disahkan positif COVID-19 pada 2 April. Kes ini telah meninggal dunia pada 5 April pukul 12.39 pagi.
“Setakat ini, belum dipastikan kes telah mempunyai kontak dengan orang yang telah disahkan positif COVID-19,” jelasnya.
Beliau juga memberitahu terdapat 10 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kes di Sarawak sebanyak 264 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020, dan daripada 10 kes tersebut, sembilan dirawat di HUS dan satu lagi di Hospital Sibu.
sumber : utusanborneo